Kesihatan diri merupakan aset yang paling berharga, namun masih ramai yang tidak menyedarinya sehingga mendatangkan implikasi kepada kesihatan. Punca utama kepada penyakit serius seperti jantung dan kanser adalah dari pemakanan yang tidak sihat. Antaranya:
1. Terlalu banyak lemak dan kolesterol
Makanan seperti telur, daging, snek dan hasil tenusu selain membekal tenaga, ia juga mengandungi banyak lemak dan kolesterol. Kebanyakan rakyat negara ini gemar mengambil makanan yang berlemak dalam menu harian mereka. Ini menyebabkan kadar kolesterol dalam darah semakin meningkat.
2. Terlalu banyak gula
Suka pada makanan dan minuman manis seperti kek dan manisan merupakan tabiat yang sering diamalkan. Pengambilan gula yang berlebihan bukan sahaja mengundang kepada masalah kesihatan malahan menyebabkan kerosakan gigi dan kegemukan.
3. Terlalu banyak garam
Makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram sering dijadikan sebagai menu harian. Ini menyebabkan timbulnya masalah tekanan darah tinggi sehingga membawa kepada serangan jantung dan strok.
4. Terlalu sedikit serat
Kurang mengambil makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran juga merupakan tabiat tidak sihat yang sering berlaku terutamanya kepada rakyat negara ini. Akibatnya, ia akan mengganggu sistem penghadaman tubuh anda.