Bersenam wajib
Credited to harian metro.
Bersama Dr Haizal Haron Kamar
GAYA hidup sedentari atau tidak aktif adalah satu daripada faktor risiko untuk mendapat penyakit jantung koronari, pembunuh nombor satu di Malaysia dan di kebanyakan negara di dunia.
Individu yang mengamalkan gaya hidup begini berisiko 30 hingga 50 peratus lebih tinggi untuk mengalami hipertensi atau tekanan darah tinggi yang menjadi antara penyebab utama strok, kegagalan buah pinggang dan kerosakan mata.
Boleh dikatakan setiap hari kita mendengar saranan untuk mengamalkan gaya hidup aktif.
Walaupun saranan ini dilihat lebih mudah diucap daripada dilaksanakan, kita perlu berusaha melakukannya kerana ia terbukti kaedah paling berkesan untuk menjaga kesihatan jantung dan mengekalkan kesejahteraan secara keseluruhan.
Bagaimana senaman boleh membantu kesihatan jantung?
Senaman membantu jantung melalui beberapa cara iaitu:
Seperti otot-otot lain, senaman boleh membuat jantung menjadi lebih kuat dengan keupayaan mengepam lebih banyak darah bagi setiap denyutan. Kadar denyutan jantung ketika rehat lebih perlahan dari biasa kerana jantung tidak perlu bekerja keras untuk mengepam darah.
Senaman membantu mengekalkan keanjalan arteri. Ini membolehkan kelancaran aliran darah lantas mengekalkan tekanan darah yang normal. Proses ini berlaku walaupun usia meningkat tua.
Senaman boleh memperbaiki profil kandungan lemak darah badan. Selain mengurangkan kolesterol-LDL atau ‘kolesterol tidak baik’, ia secara langsung membantu meninggikan paras kolesterol-HDL atau juga dikenali sebagai ‘kolesterol baik’. Berat badan juga boleh dikurang dan dikawal melalui aktiviti senaman untuk pesakit yang ada masalah obesiti. Kandungan kolesterol tidak normal berserta obesiti antara dua faktor utama penyakit jantung koronari.
Apakah senaman yang baik untuk jantung?
Senaman kardiovaskular atau aerobik adalah senaman yang membabitkan kumpulan otot besar. Aktiviti fizikal sebegini memperkuatkan jantung dan paru-paru sambil meningkatkan kemampuan badan menggunakan oksigen.
Jika dilakukan dengan kerap, senaman aerobik boleh merendahkan kelajuan denyutan jantung dan tekanan darah serta memperbaiki sistem pernafasan.
Contoh senaman aerobik ialah berjalan laju, berlari, berbasikal, berenang, berkasut roda, menari dan mendayung sampan. Senaman aerobik ini harus dilakukan berterusan lebih kurang 30 minit, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Namun beberapa kajian mendapati, untuk mendapat perlindungan jantung, yang penting bukan jangkamasa senaman yang panjang tetapi jumlah tenaga digunakan setiap hari. Ini bermakna, seseorang itu boleh bersenam dengan melakukan aktiviti cergas untuk tempoh pendek beberapa kali sehari.
Mengapa masih ramai tidak bersenam?
Ramai tahu senaman itu baik bukan saja untuk jantung tetapi juga kesihatan secara umumnya. Namun, kajian mendapati hanya satu daripada 10 orang dewasa bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu seperti disyorkan. Kenapa perkara ini berlaku?
Mengikut kajian, ketiadaan masa kerana kesibukan kerja menjadi sebab utama aktiviti senaman diabaikan, diikuti alasan mengatakan mereka mendapat cukup aktiviti fizikal ketika di rumah atau tempat kerja.
Alasan lain yang sering diberi ialah aktiviti senaman membosankan, terlalu tua atau cepat penat. Ada juga yang berpendapat senaman tidak penting!
Sebenarnya, badan manusia dicipta untuk bergerak. Tiada alasan yang tidak membolehkan kita bersenam, kecuali anda ada masalah kesihatan dan doktor menasihatkan supaya tidak bersenam.
Namun, jenis penyakit yang dilarang bersenam sangat sedikit, malah pesakit yang ada masalah lemah jantung juga disyorkan bersenam mengikut program khusus untuk mereka.
Pesakit yang menjalani pembedahan jantung juga dinasihatkan bersenam sebaik keluar dari unit penjagaan rapi. Pada hari pertama, mereka disaran bersenam di atas katil dengan menggerakkan anggota badan, diikuti berjalan keliling katil pada hari kedua.
Pesakit yang diserang strok juga perlu menjalani latihan fisioterapi iaitu senaman khusus untuk cepat pulih. Lebih cepat pesakit menjalani latihan fisioterapi, terutama dalam beberapa bulan pertama selepas serangan, kesan pemulihan jauh lebih baik.
Luangkan masa 30 minit sehari untuk bersenam. Banyak masalah kesihatan terjadi kerana ramai memikirkan senaman tidak penting dan hanya melakukannya ‘jika ada masa’.
Ini sikap yang tidak sihat dan patut diubah kerana senaman adalah ‘resipi wajib’ untuk sihat. Sebarang masalah mengenai jantung atau gaya hidup boleh e-mel ke ruangan ini atau